Adakah ayat ini bermaksud bahawa wanita
secara umumnya dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk lelaki?
Sebenarnya, di dalam A-Quran Allah menyatakan dengan jelas manusia
sebenarnya berasal dari nutfah (iaitu air mani yang sedikit) yang
bercampur dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang berasal daripada
tanah. Berhubung dengan ini dalam surah Al-Haj ayat 5 Allah menjelaskan
“Wahai manusia apabila kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah)
kami menciptamu dari tanah , dan kemudian daripada nutfah.”
Oleh kerana kenyataan Al-Quran berhubung
dengan kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak dapat
mencanggahinya. Jesteru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal dari
tulang rusuk lelaki, tidak dapat ditafsirkan dari bentuk yang
mencanggahi Al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya berkenaan
asal-usul kejadian wanita sebaliknya berkenaan kepentingan menghormati
dan menjaga wanita dengan baik. Jesteru, di dalam kitab Riadus Solihin,
Imam Nawawi meletakkan hadis ini di dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum
Wanita Dengan Baik’.
Di dalam kitab Dalilul Falihin,
diriwayatkan bahawa Imam Qurtubi berkata, “Wanita dicipta dalam batas
dan keadaan seperti tulang rusuk,” dan bukan dicipta dari tulang rusuk.
Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam bengkok adalah
berbeza daripada tulang yang lain sebagaimana wanita berbeza dari kaum
lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya jesteru tulang rusuk
tidak boleh dicaci kerana berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia
menghadapi masalah. Begitu juga dengan wanita, tanpanya kehidupan tidak
sempurna. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semulajadinya
walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza dari kaum lelaki.
Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semulajadinya dan tidak
boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita
dan bekerjasama bagi mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada
peranannya dan kadang kala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki.
Perbezaan peranan tidak melambangkan kehinaan.
Berbalik kepada isu berkaitan kejadian
kaum hawa daripada tulang rusuk kaum lelaki, sebahagian ulama
berpendapat hadis ini membicarakan berkenaan hawa secara khusus.
Mengikut pandangan mereka, hawa berasal daripada tulang rusuk Adam.
Antara ulama yang berpegang dengan pandangan ini ialah sahabat Abdullah
Bin Abbas, Abdullah Bin Mas’ud, Imam Mujahid, Ibnu Al-Munzir, Ibnu
Humaid dan ramai lagi. Namun, apabila Al-Quran dirujuk mengenai perkara
ini, kita tidak menemui sebarang dalil yang menyokong pandangan ini.
Sebagai contoh, berhubung dengan kejadian Hawa, dalam surah An-Nisa’
ayat 1 Allah menjelaskan dengan bermaksud, “Wahai manusia, bertakwalah
kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari diri yang satu (iaitu Adam) dan
daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada
kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”
Dalam ayat ini dan yang seumpamanya kejadian hawa tidak langsung
dikaitkan dengan tulang rusuk Nabi Adam.
Sebenarnya, Al-Quran lebih mementingkan
supaya kualiti dan maruah wanita dipelihara dan tidak
diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Dalam islam wanita dan lelaki
adalah sama di sisi Allah sebagai hamba-hamba Allah. Sekiranya seorang
wanita beriman dan beramal soleh dia diberi ganjaran yang tinggi dan
diletakkan di tempat yang tinggi. Dalam surah Al-Imran ayat 195, Allah
menyatakan yang bermaksud, “Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amalan
orang yang beramal antara kamu baik dia lelaki ataupun wanita kerana
sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.”
Tambahan daripada itu, Allah tidak
pernah menghina ataupun memuliakan makhluk-makhluknya berdasarkan
jantinanya. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan
ketakwaannya. Berhubung dengan ini, dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah
menjelaskan, “Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi
Allah adalah yang paling bertakwa antara kamu,” Hal ini adalah utama
untuk difahami dan dihayati.
Wallahualam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar